01 Disember 2008

Minhaj Al-Abidin


Minhaj Al-Abidin – Petunjuk Jalan Bagi Orang2 Ahli Ibadah
Oleh: Imam Al-Ghazali ra
Keluaran: Jahabersa
Halaman: 314 mukasurat

Salam

Kitab ini merupakan kitab terakhir karya Ulama besar yang digelar Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali at-Tousi ra. Antara kitab yang banyak barakahnya dimana sehingga ke hari ini kitab ini masih lagi diguna sebagai kitab pengajian atau rujukan samada di pondok, masjid mahupun di universiti.

Ia dikarang dan dipersembahkan kepada golongan ahli ibadah supaya dapat selamat sampai ke hadrat Tuhannya. Kitab ini disusun bagi kalangan orang awam dan golongan pertengahan. Manakala kitab Ihya’ Ulumiddin yang semestinya untuk golongan tinggi dan Bidayatul Hidayah yang dikhaskan bagi kalangan orang awam (yakni golongan pemula dalam mengenal ilmu tasawuf).

Berkata Syeikh yang alim, solih lagi zahid, Abdul Malik Abdullah, semoga Allah mengampunkannya:

“ Telah merencana kepadaku kitab yang ringkas ini oleh guruku yang agung, Imam yang zahid, yang bertuah, yang mendapat taufik, yang digelar Hujjatul Islam, yang merupakan perhiasan agama dan kemuliaan umat, iaitu Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali at-Tousi ra, semoga Allah mensucikan rohnya dan meninggikan darjatnya di dalam syurga. Kitab yang ringkas ini merupakan kitab akhir yang telah beliau mengarangnya dan juga tidak mengambil rencana daripada beliau melainkan oleh para sahabatnya yang khusus.”
“Tiap yang indah itu dicintai, tetapi yang indah mutlak hanyalah satu, Maha Esa. Bahagialah orang yang telah sempurna mahabbahnya kepada-Nya. Kesempurnaan mahabbahnya itu ialah kerana ia menginsyafi ‘tanasub’ (persesuaian) batin antara dirinya dengan Dia. Orang yang paling bahagia di akhirat iaitu yang paling kuat mahabbahnya kepada Allah swt. Selanjutnya, nikmat si Muhib (pecinta) jika…, Setelah lama rindu…, Ia menjumpai Mahbubnya (yang dicintainya), semakin kuat mahabbah maka makin besarlah nikmatnya. Demikian itu adalah disebabkan oleh kenyataan bahawa akhirat itu bererti kunjungan kepadaNya swt”

Imam Al Ghazali berkata dalam kitabnya Al Munqiz min al-Dhalal:

Perhatianku tertumpu kepada jalan sufiah. Adalah sangat jelas bahawa jalan ini tak akan dapat ditempuh melainkan dengan ilmu dan amal. Ianya mesti ditempuh menerusi tahapan batin dan dengan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan batin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku, ilmu lebih mudah daripada amal. Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab2 mereka, diantaranya kitab Qutub Al-Qulub karangan Abu Talib Al-Makki ra dan kitab2 karangan Al-Haris Al-Muhasibi ra serta ucapan Al-Junaid ra, Al-Syibli ra, Abu Yazid Al Busthami ra dan lain2. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka. Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dapat dicapai dengan zauq (rasa pengalaman batin), pengalaman dan perkembangan batin. Jauh sekali perbezaan antara mengetahui erti sihat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sihat atau kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalaminya mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu. Seorang doktor yang sedang sakit, tahu banyak tentang sihat, tetapi ia sendiri sedang tidak sihat. Tahu erti dan syarat2 zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman dan bukan perkataan. Apa yang dapat dicari dengan ilmu telah ku capai. Selanjutnya, harus dengan zauq dan suluk (menempuh perjalanan batin).

Kitab ini di mulai dengan membicarakan Peranan ilmu dan makrifah, Taubat, Halangan2, Rintangan2, Pendorong untuk beribadah, Penyakit2 hati dan Mengekalkan diri dalam beribadah.

Kitab yang setebal 314 mukasurat ini dibahagikan kepada 7 bab kesemuanya. Akhir kata sebuah kitab yang amat baik.

Tiada ulasan: