03 November 2008

Indahnya Cinta


Indahnya Cinta – Kisah-kisah kekasih Allah
Oleh: Ezee Rahmani
Keluaran: PTS
Halaman: 166 mukasurat

Salam

Sebuah buku yang menghimpunkan 43 kisah benar kekasih Allah. Pernikahan Agung di saksikan oleh para malaikat dan bidadari syurga.
"Indahnya cinta apabila saling memadu kasih kerana Allah, bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah."

Tiap satu kisah yang ana baca, ana terfikir nie kisah sapa yer dan yang nie lak kisah sapa lak.. dari kisah-2 nie ana nukilkan satu ringkasan kisah darinya yang bertajuk Ucapan Istimewa..

Lihatlah Julaibib ra itu. Dia tidur di mana-2 sahaja apabila penat, kata salah seorang sahabat Rasulullah saw apabila terpandang Julaibib ra berbaring di masjid. “Tidak kira di mana-2 sahaja.” Bangunan masjid di zaman Rasulullah saw hanyalah beratapkan daun-2 tamar dengan batangnya sebagai tiang dan tanah pasir sebagai lantainya.

Kita semua tahu dia sebatang kara, kata seorang sahabat yang lain pula. Mereka terus memerhatikan keadaan Julaibib ra yang serba kekurangan. Pakaiannya yang lusuh dan kakinya yang tidak pernah dilihat berselipar. Dia makan apa sahaja dengan hasil upah yang diperolehinya. Apabila dahaga, dia meneguk air dari kolam yang disinggahinya dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya.

Apabila selesai urusan hariannya, Julaibib menghabiskan masa di masjid, dia berzikir, membaca kitab Al Quran dan sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali waktu sembahyang. Begitu juga apabila di medan perang. Dia juga turut maju menentang musuh Allah di barisan hadapan tanpa gentar di hati.

Pada suatu hari, Rasulullah saw terpandang Julaibib ra lalu bertanya, “Tidakkah saudara mahu berkahwin ?”

“Siapalah yang mahu mengahwinkan anak gadisnya dengan saya,“ jawab Julaibib ra dengan nada sayu.

Rasulullah saw mendekati Julaibib ra. “Pergilah ke rumah si polan, seorang sahabat Ansar dan katakan kepadanya, Rasulullah saw menyampaikan salam untuknya dan memintanya mengahwinkan anak gadisnya dengan saudara.”

Julaibib ra. Segera beredar ke rumah yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Dia memperkenalkan dirinya kepada tuan rumah. “Saya menyampaikan salam Rasulullah saw kepada tuan. Rasulullah saw meminta supaya tuan mengahwinkan anak gadis tuan dengan saya.”

Sahabat Ansar itu terkejut dan cuba bertenang. “ Selawat dan salam untuk Rasulullah saw. Bagaimanakah saya boleh mengahwinkan anak gadis saya dengan saudara sedangkan saudara tidak mempunyai apa-apa ?”.

Perbualan itu turut didengari oleh anak gadis mereka. “Adakah ibu dan ayah menolak permintaan Rasulullah saw. ? Beliau telah menghantar seorang calon suami yang sudah tentu akan memberi kebahagian dunia dan akhirat pada saya,” kata anak gadis itu dengan penuh yakin.

Lalu, berkahwinlah Julaibib ra dengan gadis Ansar yang dipilih Rasulullah saw. Majlis perkahwinan yang penuh berkat itu berlangsung dengan meriah. Tidak lama kemudian, datang seruang perang. Julaibib ra tidak mahu melepaskan peluang. Cita-cita bagi mendapat syahid tetap tidak berubah walaupun sudah berkahwin.

Pertempuran itu telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Jasad tentera Islam yang terkorban dikira dan dicatatkan nama mereka seorang demi seorang. Rasulullah saw turut hadir dalam memeriksa jasad-jasad yang terkorban. Dalam senarai nama mereka yang terkorban, tidak ada nama Julaibib ra. Rasulullah saw meneliti jasad-jasad yang terbujur kaku sekali lagi sehingga beliau terlihat sekujur jasad yang bersalut debu lalu mendekatinya.

“Saya kehilangan Julaibib ra,” kata Rasulullah saw sambil membersihkan wajah yang tertutup debu. Air matanya mengalir sedang tangannya terus mengusap wajah Julaibib ra. “ Saudara membunuh tujuh orang tentera musuh dan kini saudara pula yang terbunuh.”

Sahabat-sahabat segera mendekati Rasulullah saw yang duduk di sisi Julaibib ra. Kata Rasulullah saw lagi,
“ Saudara adalah sebahagian daripada saya dan saya adalah sebahagian daripada saudara.”

Rasulullah saw mengulangi lagi kata-kata yang sama:
“ Saudara adalah sebahagian daripada saya dan saya adalah sebahagian daripada saudara.”

Rasulullah saw terus berkata lagi, mengucapkan kata-kata yang sama beberapa kali. Ucapan itu adalah hadiah istimewa buat Julaibib ra. Hadiah yang tidak ternilai harganya kepada Julaibib ra sebagai membalas kecintaannya. Tercapailah cita-cita tertinggi Julaibib ra, mati syahid di medan tempur.

Akhir kata sebuah buku yang di olah dalam bentuk santai supaya mudah dihayati.

Tiada ulasan: