27 November 2008

Imam Ja'far Al-Sadiq


Imam Ja'far Al-Sadiq - Pemikirannya Tentang Konsep Ketuhanan
Pengarang : Ahmad Zuhdi Ismail
Penerbit : Penerbit Universiti Malaya
Halaman: 172 Mukasurat

Salam

Pertamanya, buku ini mendekati pandangan seorang tokoh yang pakar dalam pelbagai keilmuan pada abad kedua hijrah. Kedua, buku ini membicarakan konsep-konsep kepercayaan Islam terhadap perspektif ketuhanan termasuklah konsep makrifat dan perbuatan Allah menerusi pandangan Imam Ja'far Al-Sadiq dengan membuat perbandingan dengan ulama kalam yang sezaman atau selepasnya. Ketiga, buku ini memberikan perhatian kepada hubungan Allah dengan manusia khususnya dalam usaha membentuk masyarakat yang berpaksikan Tauhid.

Dua di antara tokoh ulama Islam yang sentiasa memberi penghormatan kepada beliau ialah:
i. Imam Abu Hanifah ra (m.150 H) mengatakan bahawa beliau sendiri akan gagal mengembangkan ilmu pengetahuan seandainya berpisah dengan Imam Ja'far Al-Sadiq.
ii.Imam Malik bin Anas ra (m.179 H) mengatakan bahawa tidak ada sesuatu yang lebih utama apabila disebutkan nama Imam Ja'far Al-Sadiq. Keutamaan tersebut termasuklah ilmu pengetahuannya, peribadatannya dan kezuhudannya.

Buku ini membincangkan beberapa konsep yang berkait rapat dengan persoalan ketuhanan seperti makrifat, sifat dan zat serta af'al Allah berdasarkan pemikiran Imam Ja'far al-Sadiq yang selaras dengan keterangan al-Quran dan al-Sunnah.
Persoalan sifat turut diberikan penekanan dalam pengertian yang sistematik dan rasional serta mudah difahami. Imam Ja'far Al-Sadiq mengajak manusia menyelami hakikat al-Quran berhubung dengan makrifat Allah untuk meningkatkan kualiti keimanan. Ini kerana makrifat Allah adalah asas daripada seluruh ajaran Islam. Persoalan yang berkait rapat dengan of af'al Allah turut dibincangkan. Matlamat akhir kehidupan manusia seperti persoalan petunjuk dan penyesatan turut diulas.
Memandangkan konsep ketuhanan ialah konsep yang penting dalam Islam, penulis turut memuatkan pendapat pakar daripada beberapa aliran pemikirtan Islam bagi menerangkan dan membandingkannya. Tujuannya adalah untuk melihat persamaan dan perbezaan mengenai konsep ketuhanan.

Imam Ja'far Al-Sadiq menghabiskan setiap saat dalam kehidupannya dengan mengajar sama ada secara umum ataupun secara peribadi dan menjadikan kekayaan ilmu pengetahuan tersebut dalam genggaman setiap orang.
Buku yang ditulis secara ilmiah hingga dapat menjelaskan betapa pentingnya kefahaman yang menyeluruh terhadap konsep ketuhanan, untuk mengelakkan masyarakat membuat tafsiran sendiri terhadap hakikat Allah yang akan membawa fahaman al-Mujassimah dan al-Musyabbihah.
Akhir kata sebuah buku yang baik dan tinggi pembicaraannya. MySpace

Tiada ulasan: