Memaparkan catatan dengan label Manuskrip. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manuskrip. Papar semua catatan

08 April 2009

Ad-Durrah an-Nafisah


Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah
Oleh: Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari
Keluaran: Khazanah Fathaniyah
Halaman: 290 mukasurat

Salam

Artikel Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah.

SEBUAH kitab tasawuf peringkat tinggi yang cukup terkenal di dunia Melayu yang banyak kali dicetak ialah (Ad-Durr an-Nafis) karya Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari. Kitab tersebut ditulis dalam tahun 1200 H / 1785 M dan dicetak pertama kalinya seratus tahun kemudian, iaitu tahun 1300 H / 1882 M. Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Yang saya perkenalkan dalam artikel ini bukan “Ad-Durr an-Nafis” tetapi adalah (Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah) yang ditulis lebih kurang tiga puluh sembilan tahun sesudah “Ad-Durr an-Nafis”. Tarikh tepat penulisan mulai waktu Dhuha, hari Jum’at, 15 Rabi’ul Akhir 1239 H / 19 Disember 1823 M, dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharram 1240 M / 3 September 1824 M. Kitab ini belum pernah diterbitkan berupa bahan cetakan. Manuskrip yang ada hanya sebuah saja, ada dalam simpanan saya (penulis artikel ini). Sungguh pun tidak terdapat nama pengarang namun dapat diduga adalah karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, merupakan syarah kitab beliau yang berjudul “Ad-Durr an-Nafis”. Jadi manuskrip yang sekarang menjadi koleksi peribadi saya adalah asli tulisan tangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari.
Sebelum memasuki kandungan “Ad-Durrah an-Nafisah”, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua buah karya ringkas tentang tasawuf. Yang sebuah 18 halaman dan satu lagi 14 halaman. Kedua-duanya tanpa judul. Yang sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada malam, 30 Jumadil Awwal 1235 H / 16 Januari 1820 M. Pada mukadimah risalah yang pertama Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari menyebut tentang ‘diri’ ada empat jenis. Kata beliau, “Pertama: Diri yang berdiri, iaitu diri jasad, atau tubuh badan. Kedua: Diri yang terperi. Ketiga: Diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat: Diri yang sebenar-benar diri.” Keempat-empat ”diri” dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah yang terdapat dalam ilmu tasawuf.
Kedua-dua risalah yang dianggap sebagai mukadimah “Ad-Durrah an-Nafisah” saya tinggalkan saja, langsung saja kepada manuskrip yang sedang diperkenalkan. Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari memulai bicara dengan katanya, “Aku memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi S.A.W seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas hari bulan Rabi’ul Akhir, yaum al-Jum’ah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jum’at, jam 8.00, pada 15 Rabi’ul Akhir 1239 H pen:)”. Sebab-sebab beliau menulis kitab yang tersebut juga dinyatakan dalam mukaddimah pada halaman yang berikutnya. Kata beliau, “Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadil Awwal, (maksudnya: pada 30 Jamadil Awwal 1235 H, pen:).” Selanjutnya beliau jelaskan, “Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal.” Beliau jelaskan selanjutnya, "Bahawa itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah yang simpan (maksudnya: yang ringkas, pen:) perkataannya dengan bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut...” Barangkali oleh kerana kandungan keseluruhan “Ad-Durrah an-Nafisah” adalah tasawuf peringkat tinggi, maka diperlukan bahasa yang beradab. Itulah yang dimaksudkannya dengan “bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut” bukan bahasa Melayu yang kasar, yang tiada beradab atau tiada berakhlak atau boleh juga dikatakan tiada berbudi bahasa.
Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab-mazhab dalam ‘aqidah. Mengenai ini ada yang telah beliau bicarakan dalam “Ad-Durr an-Nafis” tetapi selepas dibanding ternyata dalam manuskrip “Ad-Durrah an-Nafisah” penambahan dan bahasan jauh lebih banyak, perbicaraan jauh lebih luas dan mendalam. Mengenai dua mazhab iaitu Mazhab Qadariyah dan Mazhab Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah dalam “Ad-Durrah an-Nafisah” terdapat tambahan yang sangat banyak. Dalil mengenai Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran tentang “kaum yang kasih kepada Allah” salah seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. Nabi S.A.W menjawab dan menunjuk sahabat baginda Abu Musa al-Asy'ari R.A. Manakala muncul keturunan beliau, iaitulah Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah “imam” Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, “Mazhab yang berpegang kepada I’tiqad Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafi’ie. Maka Mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah yang pada I’tiqad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi.” Sesudah membicarakan tiga mazhab di atas Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah.
Walaupun karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul “Ad-Durr an-Nafis” yang pernah dicetak terjadi kontroversi dengan beberapa tokoh ahli zhahir, namun bagi saya “Ad-Durrah an-Nafisah” yang merupakan syarah “Ad-Durr an-Nafis” mesti diperkenalkan. Bahawa kedua-dua kandungan kitab yang tersebut adalah tidak salah menurut ulama-ulama ahli shufi.

- Artikel ini pernah dimuat dalam Berita Harian, hari Selasa 27 Disember. 2005, hlm 10, dengan judul Ad-Durrah an-Nafisah, Bahasan Tasawuf, Guna Bahasa Beradab.
Akhir kata suka sgt dgn kitab nie.. MySpace

13 Januari 2009

Naskhah Jawi Sejarah Dan Teks Jilid 1


Naskhah Jawi Sejarah Dan Teks Jilid 1
Oleh: Mahayudin Hj. Yahaya
Keluaran: Bewan Bahasa Dan Pustaka
Halaman: 369 mukasurat

Salam

Masyarakat Melayu Nusantara sebagai salah sebuah masyarakat terbesar di dunia telah memperlihatkan keunggulannya dalam bidang kebudayaan dan intelektual. Agama islam telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan ilmu, budaya dan pemikiran orang Melayu. Indonesia merupakan salah sebuah pusat penyebaran dan intelektual Islam yang penting. Bermula dari kerajaan Perlak setelah itu diikuti pula oleh kerajaan Samudera-Pasai dan Acheh.

Sejak awal kedatangan Islam hingga ke hari ini, kitab2 agama, termasuklah yang belum bercetak (manuskrip), yang ditulis oleh ulama Melayu telah digunakan secara meluas sebagai bahan bacaan dan pengajian mengenai agama Islam di kalangan masyarakat Melayu Nusantara. Kebanyakan naskah2 Melayu Jawi yang tertua mengenai agama Islam masih terdapat di perpustakaan2 Indonesia, terutama di wilayah Acheh.
Antara Transliterasi Rumi Naskhah adalah.. (Manuskrip jawi turut disertakan)
1. Bahr al Lahut Al-Kitab fi Bayan Al-Alif Oleh Syeikh Abdullah Arif
2. Hujjah Al-Siddiq li-Daf’I Al-Zindiq Oleh Syeikh Nurruddin Al-Raniri
3. Hkayat Al-Habib Husain Al-Qadri Disalin Oleh Alwi bin Ahmad Al-Qadri
4. Al-Mukhtasar fi’Alamah Al-Mahdi Al-Muntazar Oleh Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

Terbahagi kepada 3 bahagian. Akhir kata sebuah kitab yang sangat baik.

23 Disember 2008

Karya Klasik Melayu Islam


Karya Klasik Melayu Islam
Oleh: Mahayudin Hj. Yahaya
Keluaran: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Halaman: 366 mukasurat

Salam

Kajian terhadap manuskrip Melayu merupakan aspek penting dalam bidang Pengajian Melayu. Hal ini mendapat perhatian khusus dikalangan sarjana2 Barat. Hasilnya, benua Eropah menjadi khazanah manuskrip Melayu sejak zaman berzaman. Orang Belanda telah mendahului bangsa2 lain di Eropah dalam bidang pengkajian manuskrip Melayu. Ribuan manuskrip Melayu telah dibawa ke Eropah bagi tujuan tersebut. Hasil tulisan para ulama silam telah dijadikan bahan rujukan oleh para pelajar dan pengkaji di Eropah dan di luar Eropah. Dalam khazanah ilmu itu tersirat pelbagai hikmah yang boleh dijadikan contoh dan teladan.

Buku ini mengkaji beberapa buah manuskrip lama hasil tulisan ulama-ulama terkenal termasuk Hamzah Fansuri, Burhan al-Din al-Kurani, Syihab al-Din al-Jawi dan Abu al-Fauz al-Marzuqi. Sejumlah 86 buah manuskrip Melayu-Islam telah dipilih untuk dijadikan bahan kajian dan lima daripadanya telah ditaransliterasi dan dianalisis kandungannya. Kajian ini bertujuan untuk membuat pendedahan serta memberi peluang kepada kepada generasi masa kini untuk memahami dan mendalami ilmu dan pemikiran silam. Ini juga merupakan usaha kesarjanaan terhadap bidang yang kurang diberi perhatian berbanding dengan penyelidikan bidang-bidang lain. Oleh itu, kajian ini amat penting dan bermanafat bagi mengembalikan kegemilangan dan keluhuran tamadun silam dalam usaha membina ilmu pada masa akan datang.
Antara Transliterasi Rumi Naskhah adalah.. (Manuskrip jawi turut disertakan)
1. Al Muntahi Terjemahan karangan Syeikh Hamzah Fansuri
2. Kasyf Al-Muntazar Li ma Yarahu Al-Muhtadar Terjemahan karangan Syeikh Burhan Al-Din Malik Ibrahim Bin Hasan Al-Kurani
3. Al Risalah Terjemahan karangan Syeikh Syihab Al Din Bin Abdullah Muhammad Al Jawi
4. Aqidah Al-Awam Terjemahan karangan Abu Al Fauz Al Marzuqi
5. Hadis-Hadis Nabi Terjemahan karangan Tanpa Nama Pengarang

Akhir kata sebuah kitab yang sangat baik.